gallerygallery

Bangunan Dato’ Muhamad Salleh Perang & Bangunan Dato’ Muhamad Ibrahim Munsyi


Kompleks Kerajaan Negeri

 

Mengharmoni tradisi selaras kemajuan

 

Rekaan baru dalam senibina tempatan dengan penzahiran rekabentuk tradisi dan intrepretasi gaya kontemporari, kompleks kerajaan ini mempunyai keunikan yang tersendiri.

Suasana desa diterapkan dalam rangkaian nuansa senibina dan diterjemahkan dalam binaan moden seperti Anjung Tangga, lengkap dengan lobi luas dengan pengudaraan secara semulajadi, hasil rekaan dinding separa bertingkap dengan ram dan tebar layar bertingkap yang besar di hujung tingkat teratas. Pencahayaan semulajadi, mencelah masuk melalui dinding separa kaca dan jendela langit yang diatur rapi.

Rekabentuk bumbung panjang menonjolkan kesamaan dengan rumah bumbung panjang tradisional Melayu Johor di mana bumbung dicondongkan untuk menapis pancaran langsung cahaya matahari.

Dari serambi, selang dan pelantar — ruang separa terbuka — keseluruhan kompleks sehinggalah susunan koridor yang strategik yang mengurangkan kemasukan haba secara langsung, kami sentiasa mengekalkan legasi senibina tradisional Melayu dan pada masa yang sama kami turut menyediakan persekitaran yang mesra dan ceria untuk pergaulan dan kemasyarakatan aktif, seperti kehidupan di kampung suatu masa dahulu.